bismilah

Isnin, 27 Disember 2010

AmaLan soLeh sUmber kekUataN peRIbAdI




DUNIA tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk

kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Hanya peribadi

salih boleh menghalang perbuatan maksiat kepada Allah seperti tidak
amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain.


Pembentukan dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki Allah
dan disebut dalam al-Quran ialah sahsiah salih dari segi tutur kata dan
perbuatan. Al-Quran menggariskan prinsip sama sejak mula diikuti oleh
umat Islam.




Umat Islam perlu membina peribadi teguh dalam dunia tanpa sempadan
ini. Jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan
kepemimpinan. Ada bimbingan yang kita harapkan daripada orang yang arif
dalam apa juga bidang.


Untuk membina personaliti Muslim dihormati ialah dengan akidah yang
bersih. Muslim perlu mempunyai ikatan kuat dengan Allah supaya mereka
percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat.


Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian Allah jika mereka
mempunyai akidah yang bersih serta bersedia menghadapi cabaran
mendatang. Semua ini dapat dicapai melalui hubungan rapat dengan Allah
melalui ibadat hakiki yang dilaksanakan.


Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan
jalan tunduk, tetapi keikhlasan beribadah serta tidak berbangga
melakukan perbuatan baik atau mempunyai niat sebaliknya.


Peribadi salih termasuk juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat
Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa
bergantung kepada pertolongan orang. Kesihatan yang baik, memungkinkan
umat Islam memenuhi amanah dengan baik.


Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek. Antara
sifat Rasulullah ialah cerdas dan tangkas membuat keputusan disebabkan
keintelektualan Baginda yang tinggi. Jika direnungkan, setiap apa akan
dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan
berfikir. Sebab itu individu Muslim cemerlang ialah yang bijaksana dan
bertimbang rasa.


Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Samakah orang yang mengetahui
dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal
yang dapat menerima pelajaran.”


Satu aspek lain tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi
seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat.
Sebagai manusia, kita mempunyai kecenderungan terjebak hasutan nafsu
dan daya juang tinggi membolehkan kita melawan daripada melakukan
maksiat.


Setiap Muslim juga perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan
menepati masa dan tidak membazirkan masa. Allah banyak mengingatkan
manusia supaya menjaga masa 24 jam yang diperuntukkan sehari semalam.


Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional selain tekun, bijak
berinteraksi, berintegriti dan amanah. Umat Islam sepatutnya menjadi
contoh terbaik kepada bangsa lain kerana Islam adalah agama sempurna
yang mendidik umatnya ke arah kebaikan.


Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi mereka tidak terhalang
oleh penafian atau doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan
tamadun Islam dikecapi berabad lalu.


Akhirnya, setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada
orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah
saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya.


Dunia ini akan gelap gelita jika tidak ada lagi umat Islam kerana
umat Islam adalah bangsa yang terpilih dan sebab itulah Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling
bermanfaat bagi orang lain.”


Tiada ulasan: