bismilah

Jumaat, 3 Jun 2011

KAta -KAta mereKA MEMuKAU DUNIA

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan
kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya
(menjulang) ke langit "





Perkataan yang baik, adalah sesuatu yang menyejukkan jiwa malah ia
sebenarnya mampu membangkitkan perasaan untuk terus bergerak dan memacu
perubahan diri.


Kalimah yang baik adalah perkataan yang dapat memberikan ketenangan,
kebahagiaan dan ketenteraman kepada sanubari insan yang mendengarnya
dengan jiwa yang lapang.


Kata-kata yang baik dapat menegakkan prinsip, menghidupkan roh,
mendorong seseorang menuju kebenaran dan membina generasi yang
berwawasan.


Kata-kata yang baik, mampu mengetuk jiwa, mendiamkan perasaan
gundah, membuka mata, memukau seisi dunia dan menciptakan ketenangan
yang luar biasa.


Inilah penangan kata-kata, bicara dan seruan kebaikan. Dan, kebaikan itu adalah daripada Rabb yang HAQ – Allah S.W.T.


Khatib terhebat dalam sejarah dunia


Di dalam banyak-banyak sunnah Rasulullah S.A.W, ada satu yang sangat
menonjol dalam diri Rasulullah S.A.W : Baginda merupakan seorang
khatib, juru dakwah dan pemidato yang terhebat.


Lisannya yang jujur dalam penyampaian telah mempengaruhi ramai orang
untuk mendekati dan menghampirinya. Lisannya yang tulus itu, dapat
menyapa roh dan jiwa manusia sehingga terpaut kepada tutur katanya yang
indah lagi mempesona.


Ketika berbicara, seolah-olah mutiara yang keluar dari bibir Baginda
memancar terang sehingga ia kelihatan begitu cantik dan menarik.
Bercahaya menyinari wajah Baginda dan para sahabat terpegun dan terpaku
di hadapannya tanpa banyak bicara.


Mereka tenggelam dalam layar bicara insan yang agung ini. Masya-Allah.
Tutur
katanya, menghidupkan semangat para pejuang generasi awal dan
memotivasikan jiwa mereka sehingga membangkitkan diri untuk beriman
kepada yang Esa. Jiwa mereka berkobar-kobar memperjuangkan risalah yang
dibawa oleh Baginda Rasulullah S.A.W.


Bagi mereka : "Hidup tanpa perjuangan adalah sebuah keaiban."


Ruh perjuangan sentiasa ditiup dengan nyalaan yang membara tanpa
mengenal keputus asaan, kekecewaan dan kepenatan yang melelahkan.


Mereka mampu memacu dan mengharungi samudera kehidupan dengan seni
keberanian yang sangat luar biasa. Di dada mereka tertanam keimanan
yang benar sehingga mereka sangat mencintai kehidupan akhirat. Matlamat
mereka jelas – mencintai Allah S.W.T.


Apakah rahsia yang membangkitkan jiwa mereka sehingga ke tahap ini?


Ya. Mereka sentiasa dimotivasikan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. Sentiasa.


Kalamullah menjadi motivasi terulung.
Hadis yang mulia yang menjadi panduan hidup.


Melalui apa? – Melalui kalimah toyibbah, melalu tutur bicara yang menghangatkan dan kata-kata pembangkit semangat.


Seni kepimpinan ummah zaman berzaman


Bahkan, bukan Baginda sahaja begitu. Para sahabat yang lain, juga mempunyai kekuatan dalam berbicara.


Thariq bin Ziyad,
panglima tentera yang sangat hebat. Bala tentera di bawah pimpinannya
telah mengharungi ketumbukan musuh Islam yang hebat dari segi keupayaan
dan kelengkapan senjata perang. Namun, dengan kelantangan berpidato dan
terikan ruh jihadnya – pasukan muslimin dapat membuka pintu kemenangan
dan mengangkat panji Islam di udara kejayaan.


Saidina Ali Bin Abi Talid
– diberi jolokan Pintu Ilmu. Apabila beliau berbicara, maka pecahlah
segala pintu keterangan dan meleraikan segala kebuntuan. Khutbahnya,
pidatonya dan penyampaianya mengalir seakan-akan seluruh kalimatnya
adalah batu tulisan yang mengandungi keindahan, keagungan dan
keunikannya.


Para ulama yang soleh lagi warak – Ibnu al-Jauzi
juga begitu. Suasana kuliahnya sangat hening. Sangat menghibakan jika
ia membicarakan soal dosa, taubat dan muhasabah. Linangan air mata para
pendengar dan anak muridnya terdengar terisak-isak tanda tersentuh dan
timbulnya penyesalan dalam diri. Ada yang meratap sehingga pengsan dan
ada yang tersungkur di bawah rangkaian nasihatnya.


Masya-Allah, betapa bersih dan halusnya perasaan beliau.


Seorang khatib yang bergetar jiwanya kerana kesedihan dan kepiluan
kerana takutkan kepada Allah S.W.T akan memberikan satu tusukan rasa
kepada pendengarnya sehingga membuatkan air mata mengalir membasahi
pipi yang kering.


Ahnaf bin Qais
(tidak dikenali rama)i – adalah seorang lelaki yang kurus kering dan
lemah serta bermata cengkung. Akan tetapi, apabila dia berkhutbah, maka
dia menarik seluruh cahaya, mata, telinga dan hati untuk memberikan
seluruh tumpuan kepada bicaranya.<1>


Begitu juga seorang tokoh pembaharuan dalam dunia gerakan Islam – As Syahid Imam Hassan al-Banna.
Beliau jarang sekali menulis buku atau kitab. Tetapi, dalam sejarah
hidupnya – beliau menjadi juru dakwah yang banyak menyampaikan didikan
kepada masyarakat sekelilingnya dengan kata-kata nasihat, tutur bicara
yang memikat dan lisan yang penuh berkat.


Seingat saya, beliau selalu telah mewujudkan satu forum atau kuliah
umum untuk mengajak hati-hati manusia untuk mengingati Allah S.W.T dan
melihat jiwa dengan proses didikan al-Quran. Kuliah ini dinamakan Haditsuts Tsulatsaatau Atthifatus Tsulatsa, kerana ia diadakan secara rutin pada hari Selasa, di pejabat Pusat Ikhwanul Muslimin.


Masya-Allah, kuliah ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada
masyarakat setempat. Saban minggu, mereka ternanti-nanti dengan penuh
kerinduan untuk berada dalam majlis ta'lim ini untuk mengisi
kekosongan hati dan jiwa mereka. Mereka begitu asyik mendengar curahan
hati Imam al-Banna sehinggakan, kuliah ini melimpah dengan kehadiran
orang ramai luar daripada kawasan daerah.


Jika anda berhajat untuk membaca intisari dan intipati penyampaian
kuliah Hassan al-Banna ini bolehlah dapatkan sebuah buku yang mengumpul
semula kuliah-kuliah Imam Hassan al-Banna ini. Tajuknya, ialah Hadist Tsulatsa'
: Ceramah-ceramah Hasan al-Banna, karya Ahmad Isa 'Asyur. Selain itu
juga, saya pernah membaca buku yang mengumpulkan khutbah-khutbah Jumaat
yang disampaikan oleh Imam Hassan al-Banna yang bertajuk Khutbah Jumaat Hassan al-Banna yang disusun oleh Syeikh Isom Talimat.


Kesemua ini adalah khazanah ilmu dan bicara murabbi ummah yang
sangat berharga dan mendidik jiwa saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Alhamdulillah.


Kekuatan Bicara dan Dakwah Bil Lisan


"Siapakah yang lebih baik perkataannya
daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh,
dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah
diri?"


Inilah contoh, qudwah dan role model yang diketengahkan untuk kita
jadikan iktibar. Jika dilihat kepada mereka, terdapat beberapa ciri
yang boleh kita jadikan panduan dan tips untuk peningkatkan diri :


(1) Keikhlasan dan kejujuran mereka dalam
menyampaikan kalimah al-Haq. Kesungguhan, ke'serius'an dan penuh dengan
sifat kasih sayang kerana Allah S.W.T menjadikan siri penyampaian
mereka menyentuh perasaan dan mengerakkan rasa untuk melakukan
perubahan dalam diri pendengar.


(2) Kefasihan dan kelancaran mereka dalam
mengungkapkan ayat-ayat al-Quran dan selalu menyandarkan kepada hadis
Rasulullah S.A.W sebagai hujah dan rujukan utama penyampaian mereka,
membuatkan bicara mereka hidup dan segar. Inilah tali penghubung yang
mengikat jiwa-jiwa manusia kepada keimanan dan keyakinan yang benar
kepada Allah S.W.T.


(3) Memiliki kepakaran dalam bidang sastera
sehingga barisan-barisan kalimah yang ada dalam tutur bicara mereka
begitu indah, sangat menarik dan memikat untuk didengari. Gaya bahasa
yang sederhana tetapi memukau serta penuh dengan nada-nada yang
menakjubkan sehingga kisah-kisah, sirah-sirah dan cerita-cerita yang
disampaikan benar-benar hidup di mata pendengar.


(4) Mereka mempunyai kualiti yang tinggi :
Mampu menghidupkan bicara mereka di dalam hati, fikiran dan perasaan
mereka. Mereka sentiasa memelihara hubungan hati dengan Allah S.W.T,
sentiasa melakukan persiapan jiwa, emosi, fikiran dan rohani sebelum
memulakan penyampaian ceramah, tazkirah atau khutbah.


(5) Mereka selalu membuat latihan kendiri untuk proses pengamalan, pengoperasian dan pembumian dalam kehidupan.
Mereka hidup di dalamnya dan selalu berlatih dan berlatih. Ini juga
adalah rahsia untuk menjadi seorang khatib, pemidati dan juru bicara
yang petah berkata-kata.


Sebenarnya, umat ini sangat-sangat memerlukan khatib, dai dan sang
penyeru yang pakar, memiliki perasaan dan menguasai keadaan. Tujuan
keberadaan mereka adalah untuk menyampaikan risalah kebenaran dengan
pengaruh yang kuat dan mengesani perasaan insan. Ia mampu memberikan
penerangan yang jelas tentang manhaj al-Quran dengan ruh kehangatan
yang memuncak, daya tarikan yang mendidik dan semangat yang membara.
InsyaAllah.


Penutup – Komentar seorang hamba.


(1) Apa perasaan kita apabila membaca artikel di atas? – Seharusnya
kita memasang azam dan tekad untuk bergerak menuju ke arah itu. Boleh
dan mampukah diriku? Tepuk dada, tanyalah Iman kita. Kita lakukan
dengan kemampuan yang ada.


(2) Perkara yang terpenting ialah kita berkeupayaan untuk
mengamalkan apa yang kita perkatakan. Allah S.W.T sangat murkai, mereka
yang banyak menasihati, berbicara dan berkata-kata tetapi ia tidak
berbekas pada hatinya. Positifkan hal ini, akulah yang pertama yang
akan melaksanakannya.


(3) Marilah kita meluruskan niat dan perasaan untuk sentiasa
mempertingkatkan diri kita. Dan salah satu kemahiran yang perlu ada di
dalam diri ummat Muhammah ialah kemahiran public speaking, pengucapan
awam, dan berkhutbah dengan baik. Ayuh kita gerakan wawasan ini.


_______________________________
<1> Khutbah Motivasi Terbaik, karya Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni

Tiada ulasan: