bismilah

Isnin, 23 Januari 2012

sHARING is Caring

Bergantung Hanya Pada Allah Feedback by Nur Syah Miqail Tiada keuntungan dalam hidup ini kecuali untuk orang yang bergantung sepenuhnya kepada Allah.Segala-galanya berada dalam genggaman dan kekuasaan-Nya.Tidak ada satu celah atau noktah pun yang luput atau terlepas daripada pemerhatian Allah.Dia menjadikan semua perkara dalam hidup ini dengan penuh teliti,sempurna serta menyeluruh.Kehidupan dicipta dengan keseragaman luar biasa.Hasilnya hidup ini sentiasa berlangsung dengan anggun dan harmoni. Sebagai makhluk-Nya yang berakal,Allah memberi kebebasan sepenuhnya kepada manusia dalam menentukan jalan kehidupan sama ada yang menuju bahagia atau kehancuran dan penyesalan.Allah mengilhamkan ke dalam hati manusia kemampuan memilih yang baik atau buruk.Terpulang kepada kita sama ada mahu mengambil yang berfaedah atau merugikan hidup.Jangan pula kita menyalahkan orang lain apabila kita memilih berkelakuan buruk dan kemudian sengsara.Sebabnya,kita sendiri yang bersalah dan maka kita sendiri yang perlu bertanggungjawab atasnya. Bagi mereka yang hidupnya sentiasa bergantung pada Allah,sesiapa mahupun apa-apa jua di dunia ini adalah terlampau kecil untuk digantungkan harapan.Contohnya,orang yang bergantung pada tiang berasa takut apabila tiang itu dialihkan kerana dia akan jatuh terguling.Sama juga apabila manusia bergantung pada sebuah kerusi.Dia akan berasa takut kalau-kalau kerusinya itu hilang.Demikianlah keadaan orang-orang yang takut dan panik dalam hidup kerana mereka terlalu bergantung pada harta-benda,pangkat,kedudukan,kuasa,kekuatan fizikal,kecantikan rupa,wang,pasangan hidup dan lain-lain.Padahal,mengambil dan memusnahkan semua tempat pergantungan itu adalah teramat mudah bagi Allah untuk melakukannya. Apabila kita bergantung pada Allah yang menguasai setiap kejadian,kita akan tiba pada konsep atau keadaan di mana kita tidak akan pernah berasa panik mahupun takut.Contohnya,di saat kedudukan atau jawatan kita diambil atau ditarik balik,kita mengembalikannya kepada Allah dan menerimanya dengan yakin dan redha.Kita juga percaya itu adalah sebahagian daripada perancangan-Nya yang maha rapi.Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik insya-Allah jika bukan dalam bentuk kedudukan mungkin dalam bentuk lain seperti sihat tubuh badan,kuat daya ingatan,rezeki yang melimpah mahupun kasih sayang sesama makhluk atau mungkin juga Dia akan menggantikannya untuk suatu saat yang tidak terduga. Banyak contoh yang dapat kita jadikan teladan supaya tidak tersesat jalan.Berapa banyak jawatan,kedudukan mahupun populariti yang menjatuhkan manusia ke lembah yang hina.Contoh-contoh ini menjadi peringatan betapa setiap yang ada di bumi ini bersifat sementara.Kita sering menyaksikan ramai orang tenggelam dan hina kerana jawatan mereka.Hal ini disebabkan oleh mereka tidak bersyukur dan menyia-nyiakan nikmat berupa jawatan itu.Ramai manusia menyalahgunakan kedudukan dan jawatan bagi mengaut keuntungan untuk diri sendiri.Apabila salahguna kuasa berlaku secara berterusan,jawatan itu yang pada mulanya membawa banyak keuntungan akhirnya hanya mendatangkan kehancuran dan kehinaan suatu hari kelak. Apakah cara terbaik dalam mengurus nikmat-nikmat kehidupan?Antaranya adalah dengan tidak bergantung padanya.Apabila kita bergantung pada kehidupan,kita berasa takut akan kehilangannya lalu berusaha mengekalkannya dengan pelbagai cara termasuk yang menyimpang daripada nilai-nilai agama dan norma manusia. Orang yang sentiasa bergantung pada Allah memiliki jiwa yang tenang.Fikiran dan hatinya yang ikhlas sentiasa diliputi cahaya ketuhanan.Kejernihan hati membuatkan segala perkara yang berlaku di sekelilingnya nampak mudah dan menjadi jalan atau cara untuk mendekatkan hati kepada Allah.Orang yang bergantung kepada Allah menganggap nikmat sebagai amanah yang perlu dijaga dan dipertanggungjawabkan.Dia sentiasa bertanya kepada diri sendiri,”Apa gunanya nikmat ini jika ia tidak mendekatkan aku kepada Allah bahkan hanya mendatangkan kemurkaan-Nya sahaja?” Pertanyaan ini mengingatkan kita supaya yakin bahawa Allah sentiasa mengilhamkan ketenangan dan kebijaksanaan kepada kita jika kita bersikap profesional dan bertanggungjawab walau serendah mana sekalipun jawatan kita.Jangan pula kerana kedudukan atau jawatan kita yang rendah ini kita berasa bimbang dan gelisah tidak mendapat penghormatan manusia.Apabila kita menjadikan jawatan sebagai cara untuk mendekatkan diri kita kepada Allah maka Dia akan mengurniakan kemuliaan dan keagungan kepada kita.Demi Allah,hanya Dialah satu-satunya tempat kita bergantung dan memohon kebaikan. Kita juga tidak dibenarkan bersikap sombong dan meninggi diri dengan apa yang kita miliki.Contohnya berbangga diri dengan ibu bapa yang berkedudukan,harta dan kediaman yang mewah,kuasa serta jawatan yang tinggi.Jika Allah berkehendak maka Dia boleh saja memberi penyakit kepada ibu bapa kita sehingga mereka hilang upaya lalu jawatan mereka dipindahkan kepada orang lain.Harta dan kediaman manusia juga boleh hilang dan musnah pada bila-bila masa.Dengan kehendak Allah juga jawatan dan kuasa itu sendiri pun mampu menyebabkan kita menjadi gila akibat terlalu memikirkannya sehingga hilang kepercayaan orang lain terhadap kita sebagai pemimpin. Begitu juga apabila seorang perempuan yang memiliki suami yang tampan dan gagah perkasa menganggap suaminya terhebat di dunia.Kekuatan si suami membuatkan isterinya berasa aman tenteram lalu bergantung harap padanya.Sulitkah untuk suaminya daripada terkena sekecil penyakit sahaja seperti cirit-birit?Penyakit sekecil itu pun mampu merubah kehebatan sang suami yang bertubuh sasa menjadi lemah tidak berdaya.Dalam sekelip mata dia pula menjadi manusia yang mengharap akan jagaan dan belas kasihan si isteri.Dalam keadaan tidak berdaya usahkan mahu melindungi isteri,menjaga dirinya sendiri juga tidak termampu. Sedang kita berjalan-jalan menikmati udara segar di taman bunga kita terpijak pula kulit pisang lalu jatuh tergelincir.Mungkin kepala kita akan menghentak jalan yang bertar lalu mengalami gegaran otak,seterusnya koma atau terus meninggal di saat itu juga.Berdasarkan contoh-contoh ini kita perlu menjadikan Allah sebagai satu-satunya tempat bergantung.Apabila kita bergantung pada selain daripada-Nya maka bersiap-sedialah menghadapi kekecewaan!

Tiada ulasan: